Sunday, November 30, 2008

Kesalahan Besar.

Jika tulisanku sebelum ini bernada sinis dan formal, biar aku nyatakan seawal mungkin bahawa tulisanku kali ini bernada lembut dan peribadi. Bukan tujuanku untuk menjadikan blog ini sebagai suatu tempat peribadi apatah lagi aku hanya menumpang di sini, tetapi izinkanlah aku meluahkan sedikit perasaanku yang pada hematku lebih baik diluahkan melalui penulisan daripada lidah. Moga-moga tulisan kali ini dapat memberi gambaran kepada pembaca-pembacanya tentang keadaan dan bentuk hatiku, insyaAllah. Seterusnya terpulanglah kepada pembaca-pembaca untuk menilai diriku dan aku juga berharap ada pembaca-pembaca yang dapat mengambil apa pun pengajaran daripada sedikit kisah-kisah hidupku yang ingin aku coretkan di sini.

Biarlah ia bermula dengan KMB. Tempat itu penuh dengan kenangan pahit dan sedikit kenangan manis bagiku. Di situlah tempat aku mula mengenal konflik intelek. Bukan sahaja konflik intelek terjadi kerana aku diajar dan dihujani pelbagai soalan di dalam kelas pengajian tetapi ia terjadi kerana hampir semua warganya terdiri daripada golongan intelektual daripada guru-guru yang bekelulusan PhD, Masters dan Ijazah sehingga kepada para pelajarnya juga adalah pelajar-pelajar terulung dari seluruh Malaysia. Apabila keadaan ini berlaku, maka konflik-konflik yang berlaku dalam hubungan seharian juga diterjemah dan ditangani secara intelek oleh golongan-golongan ini. Jarang sekali aku lihat perkara ini berlaku di sekolah menengah. Ditambah pula dengan beban akademik dan ko-kurikulum yang sememangnya tinggi, aku telah betukar wajah. Zulhimi yang berada di dalam KMB pada ketika itu berbeza dengan Zulhimi yang pulang ke rumah pada waktu cuti. Aku pasti salah seorang sahabatku yang duduk di dalam kelas yang sama denganku pada ketika itu menyedari akan hal ini. Walau bagaimanapun mama merupakan orang pertama yang menyedarinya. Pernah dia menyatakan kepadaku bahawa setiap kali dia menghantar aku pulang ke KMB, air muka dan nada perbualanku dengannya berubah. Mama menasihatiku dengan bermacam-macam nasihat ketika dia sedar akan hal ini. Aku diam dan terus menyimpan semuanya di hati.

2 tahun kemudian aku tamat pengajian di KMB. Aku mengakhiri hari-hari terakhir di KMB dengan keluar mengikuti jemaah tabligh selama 3 hari. Alhamdulillah, KMB jualah tempat aku mula mencari Allah Taa'la secara serius. Mungkin ini adalah salah satu kesan konflik intelek yang telah aku nyatakan tadi. Walau bagaimanapun keputusan peperiksaan IB pada waktu itu tertunda berminggu-minggu. Sehingga kini aku masih tidah tahu mengapa.

Allah sememangnya akan menguji setiap hambaNya. Permohonanku ke Otago telah ditolak hanya dengan 1 markah melalui keputusan IB yang aku perolehi. Begitu banyak telah berlaku dalam jangka masa ini. Biarlah aku terus sahaja melangkah kepada satu perkara yang masih aku ingat sampai sekarang. Dalam satu perbualan dengan mama, aku telah menjerit, "Orang dah buat semua dah, E.E siap, ToK siap, study pastu sembahyang. Kuran pun jarang tinggal, tapi memang jadi camni". Nadaku begitu keras dan walaupun ketika itu aku sedang berbicara dengan ibuku, seluruh badanku telah aku hadapkan ke arah kiblat dan jariku telah aku anjurkan ke langit beserta wajahku. Aku telah melepaskan kemarahan dan kekecewaanku pada Tuhan Yang Maha Agung. Ibuku yang menyedari perkara ini terkejut melihat anaknya yang selalu juga ke surau untuk sembahyang berjemaah bersifat sedemikian rupa. Aku juga tidak pernah lupa akan perkara ini. Sehingga kini aku hampir pasti aku akan dimasukkan ke neraka kerana perbuatanku itu. Allah itu Maha Penerima Taubat tetapi Dia juga Maha Adil dalam penilaianNya dan Dia tidak pernah lupa. Mana layak seorang hamba memaki-hamun Tuan yang telah memberinya segala-gala yang pernah dikecapi sepanjang hidup hamba itu...........

Cukup rasanya coretanku buat kali ini.

2 comments:

Anonymous said...

salam~

Ana rasa bukan enta sorang je yang pernah buat kesalahan macam ni.. ramai je antara kita yang pernah melakukan kesalahan yang sama, menyalahkan Allah atas apa yang terjadi, buruk sangka pada Allah, cuma mungkin dalam situasi berbeza..

ala kuli haal, ana rasa, pengalaman enta banyak mengajar enta untuk jadi insan lebih matang dalam menilai..

ketahuilah, susun atur Allah itu lebih cantik dari pengaturan kita.. barangkali Otago itu bakal mengundang seribu maksiat buat enta maka Allah selamatkan enta darinya.. dan barangkali IReland itu telah ditetapkan untuk mengundang sejuta rahmat buat enta..

point ana, teruskan kehidupan dengan penuh redha.. ambillah sejarah kehidupan sebagai pengajaran.. dan pasakkan keyaqinan yang tidak berbelah bagi atas kebijaksanaan Allah mengatur hidup hamba2Nya..

last but not least.. moga thabat dalam perjuangan~


salam~

Anonymous said...

nasihat ana enta....